Latar Belakang

Pengenalan

Jawatankuasa Pengurusan Aset Kerajaan (JPAK) merupakan Jawatankuasa di peringkat tertinggi yang akan memberi tumpuan kepada perkara-perkara strategik berkaitan pengurusan semua kategori aset iaitu aset alih, aset tak alih, aset hidup dan aset tak ketara.

Objektif

Dasar Pengurusan Aset Kerajaan (DPAK) bertujuan untuk mencapai objektif seperti berikut:

1. Pewujudan aset bagi memenuhi keperluan penyampaian perkhidmatan kerajaan;
2. Pengurusan aset dilaksanakan secara sistematik, holistik dan lestari untuk mencapai faedah aset yang optimum berdasarkan Kitaran Hayat Aset (KHA);
3. Mewujudkan pangkalan data aset yang lengkap, sistematik, berintegriti dan mudah diakses; dan
4. Pelaksanaan dan pematuhan Pengurusan Aset Menyeluruh (PAM) secara berkala dan berterusan. Amalan Pengurusan Aset Menyeluruh (PAM) dibudayakan, dilaksanakan dan dipantau melalui strategi pematuhan dalam bentuk Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang seragam.

Fungsi JPAK

Fungsi Jawatankuasa Pengurusan Aset Kerajaan (JPAK) adalah seperti berikut:

1. Menentukan hala tuju dalam pelaksanaan pengurusan semua kategori aset kerajaan;
2. Menggubal dasar, strategi, pelan tindakan dan garis panduan bagi melaksanakan dasar pengurusan aset Kerajaan khususnya mengenai standard, keselamatan, perolehan dan pembangunan sumber manusia;
3. Menyelaras pelaksanaan dasar pengurusan aset Kerajaan di antara Agensi Kerajaan di peringkat persekutuan; dan
4. Menyediakan laporan berkala kemajuan pelaksanaan dan cadangan penambahbaikan pengurusan aset Kerajaan.